Wednesday, July 1, 2009

Rossi cipta rekod kemenangan ke-100


ASSEN (Belanda): Penunggang Itali, Valentino Rossi menjuarai MotoGP Belanda semalam untuk mencipta rekod kemenangan kerjaya ke-100, seterusnya mengungguli carta pungutan mata kejuaraan dunia.

Juara dunia lapan kali itu menewaskan rakan sepasukan dari Yamaha, Jorge Lorenzo manakala juara dunia 2007 dari Australia, Casey Stoner ketiga bersama jentera Ducati.

Rossi yang menunjukkan kain rentang mencatatkan semua 99 kejayaannya, sangat gembira dengan kemenangan itu.


“Saya sangat gembira. Saya rasa sangat hebat pada pusingan pertama dan selepas mengetahui Lorenzo sukar untuk mengatasi saya, saya mula menggunakan kelebihan itu untuk mencipta jurang mengatasinya,” kata Rossi.

“Ia sangat hebat untuk merekodkan kejayaan ini. Ini adalah saat yang hebat buat saya,” kata Rossi yang memerlukan 22 lagi kejayaan untuk memecahkan rekod sepanjang zaman milik Giacomo Agostini.

Lorenzo, yang mengakui memiliki hubungan dingin dengan Rossi, turut menghamburkan pujian ke atas rakan sepasukannya itu.

“Saya mahu mengucapkan tahniah buat Valentino. Ia pencapaian hebat untuk menang Grand Prix ke-100,” kata Lorenzo.

Stoner pula berkata dia tidak begitu sihat pada perlumbaan semalam.

“Saya rasa bagus sehingga Jumaat, tetapi hari ini (semalam) saya rasa penat selepas beberapa pusingan,” kata penunggang Australia itu. - AFP

No comments:

Post a Comment